Seorang pakar urologi London yang dikenali ramai selepas membuat permohonan terbuka kepada Perdana Menteri Boris Johnson, di media sosial supaya menyediakan lebih banyak peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan, meninggal dunia pada Rabu.

Abdul Mabud Chowdhury, 53, meninggal dunia dipercayai akibat virus COVID-19, lapor portal The Independent.

Chowdhury, pada Mac dilaporkan menggesa Johnson supaya menyediakan PPE mencukupi untuk petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) yang berdepan kekurangan bekalan peralatan itu ketika mereka bergelut dengan krisis COVID-19.

“Orang menghargai dan menyanjung kami atas kerja-kerja mulia kami.

“Tetapi ingin saya katakan bahawa kita perlu melindungi diri kita dan ahli keluarga ketika krisis global (COVID-19) ini dengan menggunakan PPE yang sesuai serta ubat-ubatan,” tulisnya yang dituju kepada Perdana Menteri itu di Facebook.

Chowdhury yang sebelum ini bertugas di Hospital Homerton, London meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Memetik laporan Sky News, anaknya, Intisar Chowdhury menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tidak takut untuk menegakkan kebenaran selain bersikap prihatin terhadap sesiapa sahaja.

Sementara itu, Johnson sebelum ini dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian lanjut kerana masih menunjukkan simptom selepas 10 hari disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun, Perdana Menteri United Kingdom (UK) itu dipindah keluar ke wad biasa pada Khamis selepas dilaporkan semakin pulih daripada jangkitan COVID-19.

BACA: COVID-19: Boris Johnson dipindah ke ICU

BACA: COVID-19: Boris Johnson dilapor semakin sihat

BACA: COVID-19: Boris Johnson keluar ICU, kekal dalam pemantauan



Difahamkan, seramai 3,963 doktor membuat surat terbuka pada Mac menerusi laporan The Sunday Times, berhubung situasi mereka setiap hari yang perlu ‘bertarung nyawa’ sambil berdepan dengan kekurangan peralatan perlindungan.