Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad susulan krisis politik sejak sebulan lalu yang melumpuhkan kerajaan negara itu.

Menurut AFP, pengumuman itu dibuat kurang dua bulan selepas beliau bertahan daripada undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

"Selepas melakukan segala yang diperlukan untuk menjamin kestabilan dan peralihan kuasa yang lancar, saya mengambil keputusan untuk berundur dari jawatan Perdana Menteri Ukraine," kata Yatsenyuk, 41 menerusi siaran televisyen yang disiarkan pada Ahad.

Katanya parti Presiden Ukraine, Petro Poroshenko telah pun menamakan speaker Parlimen, Volodymyr Groysman untuk mengambil alih jawatan beliau.