Polis Indonesia mengesahkan sebuah pesawat miliknya yang membawa 13 pegawai kanan termasuk tiga orang juruterbang terhempas di perairan dekat daerah Lingga, Kepulauan Riau di Sumatera.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Boy Rafli Amar dalam satu kenyataan media di sini berkata pesawat jenis Cassa itu berlepas dari Pangkal Pinang pada pukul 9.24 pagi dan sepatutnya mendarat di Batam pada pukul 10.58 pagi.

Katanya apabila pesawat itu tidak mendarat, pihaknya menerima laporan bahawa ia telah terputus hubungan dengan pusat kawalan.

"Sebuah pasukan mencari dan menyelamat telah dikejarkan di titik terakhir pesawat itu dikesan dan menemui beberapa objek yang dipercayai sisa pesawat itu di antara kawasan Pulau Mensanak dengan Pulau Sebangka dan Pulau Gentar di perairan daerah Lingga," katanya.

Polis juga menerima maklumat orang awam yang menemui sebahgian badan pesawat dan beberapa barangan milik penumpang termasuk pakaian seragam polis, topi dan beg yang terdampar di laut.

Tiga juruterbang dikenali sebagai Budi Waluyo, Eka Barokah dan Tonce manakala 10 penumpang merupakan pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Joko Sujarwo, Mustofa, Abdul Munir, Safran, Bripka Erwin, Andi, Rizal, Eri, Suwarno dan Joko Sungatno.

Setakat ini kesemua mangsa masih belum ditemukan dan pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan operasi mereka -- Bernama