Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengambil kawalan penuh pemerintahan Parti Demokratik pada Ahad dalam usaha menyelamatkan populariti parti pemerintah itu yang dilihat semakin merudum menjelang pilihan raya pada 2014.

Yudhoyono, 63, merupakan pengasas parti itu serta mengetuai badan eksekutif dan lembaga penasihat sekaligus menjadikan beliau sebagai ahli parti paling berkuasa apabila dipilih sebagai pengerusi pada kongres parti tersebut di Bali pada Sabtu.

Beliau menggantikan bekas pengerusi, Anas Urbaningrum, yang meletak jawatan pada Februari lepas kerana disyaki sebagai suspek oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah.

Yudhoyono berkata beliau mengambil tampuk pimpinan sebagai pengerusi dengan tujuan untuk "menyelamatkan dan menyatukan" parti.

"Jawatan yang saya pegang ini adalah untuk sementara waktu sahaja dan dengan tujuan menyelamatkan dan mengukuhkan parti," Yudhoyono memberitahu ahli kongres.

“Seboleh-bolehnya saya mahu meletak jawatan sebagai pengerusi ini sebaik pilihan raya tamat iaitu dalam masa setahun setengah dari sekarang,” tambah beliau.