Ketika pakar analisis ekonomi sedang memantau data perdagangan, sementara pengulas politik memeriksa kandungan perjanjian ekonomi pada saat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China berlangsung, terdapat pula kelompok warga China yang beralih kepada peramal nasib untuk menentukan masa depan perniagaan mereka.

Reuters melaporkan, komuniti yang taksub pada kepercayaan tersebut sanggup membawa gambar-gambar Donald Trump dan tarikh lahir Presiden AS itu kepada tukang tilik nasib demi mendapatkan panduan berkaitan tuah, tenaga dan semangat.

Perang perdagangan antara kedua-dua negara kuasa besar itu mencetuskan ketidakpastian dalam pertumbuhan ekonomi China.

Maka, pertemuan ramai ahli perniagaan dengan peramal nasib diharapkan dapat membantu dalam menentukan hala tuju bisnes, termasuk sama ada mereka perlu berhijrah ke AS untuk menyelamatkan pelaburan mereka.

Pakar feng shui di Hong Kong, Victor Ng berkata, dia selalunya meramal nasib pelanggan menerusi waktu dan tarikh lahir. Namun kini, amalan itu sudah meluas ke topik meramal rentak perdagangan antarabangsa.

"Ketika ini perang perdagangan AS-China sedang berlangsung. Saya juga akan meramal nasib pemimpin AS dan China. Sebagai contoh, menggunakan tarikh lahir Xi Jinping dan Donald Trump,” ujarnya.

Di bandar Xi-an, peramal nasib Xie Xianglin berkata dia menerima kunjungan lebih ramai pelanggan yang mahu dia ‘membaca’ sebarang jangkaan masa depan dalam perniagaan dan perdagangan.

“Kebanyakannya ialah ahli perniagaan dan pelabur. Tujuh orang sudah bertanya kepada saya tentang corak pelaburan dan penghijrahan,” ujar Xie, yang mengenakan bayaran sebanyak 500 Yuan (RM300) untuk menganalisa untung nasib pelanggannya.

Di Fuxing Park, Shanghai, tercetus perdebatan terbuka tentang siapa yang bakal menjadi mangsa dan siapa pula bakal menjadi ‘pihak yang jahat’ dalam perang perdagangan AS-China. Lokasi itu merupakan kawasan pertemuan sosial popular bagi warga senior tempatan.

Rakyat China, termasuk golongan pemimpinnya, sudah lama menyandarkan nasib mereka dalam tangan tukang tilik. Golongan peramal nasib sering dirujuk untuk menjawab banyak perkara ketika mereka dalam keadaan tidak pasti serta tertekan.