Bekas bintang bola keranjang Chicago Bulls, Scottie Pippen memfailkan saman ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kerana menconteng dinding rumah agamnya di Florida menggunakan pen penanda dan krayon.

Pippen, 53 tahun, meletakkan nama kanak-kanak berkenaan bersama dengan ibu bapanya, Lindsay Glazer dan Jacob Wolloshin dan meminta tuntutan ganti rugi sebanyak AS$100,000 (RM419,000).

The Chicago Tribune turut melaporkan tuntutan berkenaan sekali gus menunjukkan pasangan itu gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam mendidik anak mereka sehingga merosakkan rumah agam yang bernilai hampir AS$10 juta (RM42 juta).

Selain itu, pasangan terbabit turut gagal menjaga rumah agam yang disewa pada Oktober 2017 sehingga Mei 2018 selepas kediaman asal mereka musnah akibat Taufan Irma.

Di sebalik contengan di dinding, haiwan peliharaan mereka juga dibiarkan membuang najis di merata tempat, merosakkan perabot, mencuri perkakas dapur termasuk gagal membayar sewa dan bil utiliti.

Terdahulu, pasangan terbabit bersetuju menyewa rumah agam yang menempatkan enam bilik tidur, sembilan bilik mandi dan dok peribadi dengan bayaran bulanan sekitar AS$30,000 (RM126,000).

Pippen sebelum ini beraksi untuk Chicago Bulls dari 1987 sehingga 1998.