Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata dianggarkan 40,000 orang terkesan dengan serangan dahsyat militan Boko Haram di Niger hingga terpaksa melarikan diri, ujar jurucakap pertubuhan itu pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Boko Haram menyerang sebuah kawasan kawalan tentera di wilayah Diffa lalu membunuh dan mencederakan ramai anggota keselamatan. Ia susulan beberapa siri serangan lain sebelum itu, termasuk di pekan Yebi pada 31 Mei lalu, ujar Stéphane Dujarric.

“Dianggarkan serangan-serangan di Yebi dan Bosso memaksa kira-kira 40,000 orang melarikan diri, walaupun tiada angka rasmi buat masa ini.

“Laporan awal menunjukkan bahawa kumpulan yang melarikan diri itu sangat memerlukan makanan, tempat perlindungan, sokongan psiko-sosial, rawatan kesihatan, keperluan rumah, air dan sanitasi,” ujarnya.

Lebih kurang 30 organisasi kemanusiaan beroperasi di Bosso, sebuah bandar berdekatan sempadan Niger dan Nigeria, serta di situ bekalan bantuan digerakkan. Menurut Dujarric, misi penilaian antara agensi turut dilaksanakan.

Sekurang-kurangnya 30 tentera Niger dan dua dari Nigeria terbunuh pada Jumaat dalam serangan Boko Haram di Bosso.

Bandar Bosso terletak dalam wilayah Diffa, iaitu lokasi perlindungan golongan yang meninggalkan kediaman masing-masing di pelbagai tempat lain akibat diserang militan tersebut.

Di timur Niger, misalnya, telah menyaksikan serangan Boko Haram yang berulang kali sejak Februari 2015, hingga mengorbankan ratusan nyawa dan menjejaskan kehidupan ribuan yang lain.

Niger pula dalam satu perkembangan terbaru berikrar untuk membalas dendam atas kematian 26 tenteranya dalam serangan di Diffa.

"Kita mesti terus melawan, penghinaan ini harus dihentikan sepenuhnya. Tidak ada lain yang perlu dilakukan, kami perlu menuntut bela,” ujar Menteri Pertahanan Niger Hassoumi Massoudou pada Ahad.