Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam empat kes pembunuhan di Phoenix, di sini, bertindak membunuh diri ketika pihak polis melakukan serbuan ke atasnya di sebuah hotel di Scottsdale, pada pagi Isnin waktu tempatan.

Pihak penyiasat sebelum ini telah memburu suspek itu, dikenali sebagai Dwight Jones, 56 tahun, sejak psikiatri forensik terkemuka Steven Pitt ditemui mati di luar pejabatnya pada Khamis.

Menurut polis, Jones menembak dirinya sendiri di sebuah bilik hotel ketika unit taktikal polis sedang hampir untuk memberkasnya.

Polis pada mulanya mengatakan suspek telah membunuh empat orang, tetapi pada Isnin berkata, terdapat dua lagi mangsa baru yang belum dikenalpasti identiti mereka.

Selain Pitt, Jones disyaki turut membunuh dua orang paralegal - Veleria Sharp, 48 tahun, dan Laura Anderson, 49 tahun, - serta seorang kaunselor yang juga ahli psikologi, Marshall Levine, 72 tahun.

Pitt sebelum ini terlibat membantu polis dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, termasuk kes misteri JonBenet Ramsey di Colorado.

Saksi melaporkan mereka mendengar tembakan di luar pejabat Pitt.

Kedua-dua paralegal itu ditemui mati di pejabat guaman mereka pada Jumaat sementara Levine pada Sabtu.