Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha menggesa anggota ASEAN berusaha keras untuk menjayakan Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam tahun ini.

Beliau berkata ia bagi memangkin pertumbuhan ekonomi selain pelaburan dan perdagangan serantau.

“Kita perlu menyokong sistem perdagangan multilateral di bawah kawal selia Organisasi Perdagangan Antarabangsa (WTO).

“Kita perlu mempromosi ASEAN yang lebih lancar melalui perhubungan yang tersusun di peringkat serantau dan luar.

“Ia termasuk kesalinghubungan fizikal, penduduk kepada penduduk, kewangan dan digital,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke 35 di sini.

Rundingan RCEP dilaporkan menemui jalan buntu di Bangkok selepas India memasukkan syarat baharu sekaligus melewatkan proses itu.

Permintaan India itu dilaporkan ada kaitan dengan tentangan peringkat domestik yang merasakan RCEP akan menyebabkan lambakan produk murah China dalam pasaran.

RCEP sudah dirundingkan sejak 2012 dengan 14 dari 20 bab sudah dipersetujui.

Tambah Prayut ASEAN juga perlu merebut peluang di bawah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu bagi perniagaan, petani, syarikat pemula dan perusahaan tempatan.

Sementara itu Prayut berkata Pemimpin ASEAN komited untuk mewujudkan persekitaran kondusif untuk keamanan dan kestabilan jangka panjang selain mempromosi pertumbuhan ekonomi dinamik dan pembangunan mampan.

“Kini ASEAN berdepan cabaran besar dan ketidaktentuan, dari segi kelemahan ekonomi global, dimana menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), akan merekodkan pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh 10 tahun.

“Selain itu persaingan geostrategik di peringkat global mahupun serantau yang membawa kepada perpecahan dagangan.

“Cabaran lain termasuk menjayakan multilateralisme, Jenayah rentas sempadan, teknologi baharu dan perubahan iklim.

“Justeru kerjasama dan persahabatan ASEAN menjadi pemangkin penting,” katanya lagi.

Prayut berkata untuk mewujudkan rantau yang stabil, ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kepercayaan strategik berasaskan prinsip kepercayaan bersama, kehormatan bersama dan kemakmuran bersama bagi mengelakan sebarang konfrantasi.