INTERNATIONAL
Thailand sahkan kes novel koronavirus kelima

Pelancong memakai topeng perlindungan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok. - Foto REUTERS
Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini mengesahkan kes kelima novel koronavirus dikesan di negara itu.
Ia merupakan kes kedua pesakit gagal dikesan menerusi saringan di lapangan terbang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awamnya, Sathit Patucha berkata pelancong wanita warga China berusia 33 tahun itu tiba di Bangkok dari Wuhan bersama anak perempuanya yang berusia tujuh tahun pada 21 Jan lepas.
Beliau berkata pesakit berkenaan telah ke hospital swasta kerana demam, sakit otot dan batuk. Wanita itu kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan semalam.
"Keputusan ujian makmal mengesahkan wanita itu positif novel koronavirus. Keadaannya bertambah baik. Anak perempuannya telah diuji tetapi negatif virus tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat wanita itu di Hospital Rajavithi, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang wanita warga Thai yang didiagnos dijangkiti virus itu pada 15 Jan lepas selepas mengunjungi Wuhan, telah dibenarkan keluar hospital hari ini selepas ujian makmal mendapati beliau telah bebas daripada virus itu.
Setakat ini, dua pesakit masih dikuarantin di negara itu.
Katanya, sejak 3 Jan lepas, seramai 21,374 penumpang daripada 136 penerbangan dari Wuhan telah disaring untuk mengesan simptom pernafasan dan demam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami