Presiden Donald Trump belum mahu berhenti bercakap soal pendatang dan sempadan negara itu dengan Mexico.

Dalam satu sidang media di White House, Trump dilaporkan berikrar mahu menghantar tentera Amerika Syarikat, bagi mengawal sempadan negara itu dengan Mexico.

"Kita akan melakukannya dengan bantuan tentera. Ini satu langkah besar," kata Trump.

Kerahan tentera bagi mengawal sempadan bukan perkara baru sebaliknya telah dilaksanakan presiden terdahulu.

Di bawah pentadbiran Presiden George W Bush, sejumlah 6,000 tentera diarahkan membantu pasukan sempadan, dalam operasi yang dinamakan operasi 'Jump Start'.

Sementara di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, 1,200 pengawal kebangsaan dikerah untuk membantu mengawal sempadan.

Dalam pada itu, Trump dilaporkan enggan memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Menurut beliau, penglibatan dalam NAFTA satu risiko, melainkan Mexico menghentikan kemasukan pendatang ke Amerika Syarikat.