Mendiang Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej akan menjalani upacara kremasi atau pembakaran mayat pada 26 Oktober, kata sumber rasmi kerajaan pada Rabu.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, sumber rasmi itu, turut menambah bahawa upacara pengebumian pula akan mengambil masa lima hari.

Pengesahan tarikh pembakaran mayat sekali gus menentukan susur masa istiadat pertabalan putera Bhumibol, iaitu Raja Maha Vajiralongkorn, yang menaiki takhta pada Disember lalu namun istiadat pertabalan terpaksa ditangguhkan selepas pengebumian ayahandanya.

Pemerhati politik berkata pertabalan raja baharu akan secara tidak langsung memulakan semula jentera politik berikutan pengumuman tempoh perkabungan setahun. Dijangkakan pilihan raya umum bakal menyusul.

"Pihak istana telah mengsahkan bahawa raja berkenan dengan perancangan kerajaan. Hari kremasi ditetapkan pada 26 Oktober," ujar pegawai kanan kerajaan, yang tidak mahu dinamakan atas sebab-sebab sensitiviti.

"Pengebumian juga akan mengambil masa selama lima hari," kata Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam.

Raja Bhumibol mangkat pada Oktober 2016 pada usia 88 tahun setelah gering sekian lama. Kemangkatannya telah mengakhiri tempoh tujuh dekad di atas takhta, yang juga dilihat sebagai simbol penyatuan rakyat Thailand dalam negara yang berpecah-belah akibat politik.

BACA: Pedati emas dipersiapkan untuk 'perjalanan Raja Thai ke syurga'