Seorang wanita berumur 88 tahun membuktikan usia bukan penghalang untuk menghabiskan pengajian peringkat doktor falsafah, apabila beliau dianugerahkan ijazah kedoktoran dalam bidang kesusasteraan di Universiti Ritsumeikan pada 24 Mac lalu.

Kiyoko Ozeki mendapat ijazah kedoktoran melalui hasil kajian yang dijalankan selama 30 tahun, mengenai seni kain yang wujud pada Era Jomon sekitar 8,000 hingga 300 Sebelum Masihi.

Ozeki merupakan warga yang tertua mendapat gelaran doktor falsafah di negara matahari terbit itu.

"Ini penghormatan terbesar bagi saya, dan saya akan menghargai detik ini sepanjang hayat saya.

"Saya agak segan melihat umur saya sekarang, tetapi saya tetap gembira, seperti memenangi pingat emas!" katanya selepas beliau mendapat ucapan tahniah daripada Canselor Universiti Ritsumeikan, Mikio Yoshida.

Ozeki adalah seorang Profesor Emeritus dari kolej junior wanita Universiti Tokai Gakuen di Nagoya, di mana beliau menulis beberapa jilid mengenai penyelidikannya terhadap asal-usul dan ciri-ciri yang terdapat pada kain yang wujud pada Era Jomon.

Beliau menjalankan penyelidikannya dengan melawat 165 tempat bersejarah Era Jomon di Jepun.

Tesis kedoktorannya, yang diserahkan pada September lalu, tidak sahaja menerima pujian yang tinggi bahkan merupakan penyelidikan yang pertama berkaitan dengan seni kain Era Jomon.

Kini, Ozeki berkhidmat sebagai penyelidik pelawat di Pusat Penyelidikan untuk Tamadun Pan-Pasifik di Universiti Ritsumeikan.