INDUSTRI seni bagaimana mahu dilihat dan dinikmati, bertepatan dengan usia kemerdekaan negara setelah mencecah 60 tahun.
Ayam berkokok tandanya siang
Pagi mencerah hilanglah embun
Nampak kekok jika seorang
Alangkah indah andai berhimpun.
FESTIVAL INDUSTRI KREATIF
RAR: Industri kreatif ini melibatkan ramai golongan seni dan karyawan yang kita boleh mendapat faedah daripadanya jika ada satu usaha untuk menghimpunkan semuanya di bawah satu bumbung.
Acara ini boleh dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja dapat menarik perhatian masyarakat negara ini malah dari luar juga.
Pihak kerajaan boleh berganding bahu dengan pihak swasta untuk mengadakan festival selama seminggu di satu tempat khas yang memberikan peluang kepada seluruh golongan seni memperkenalkan sekaligus memasarkan karya mereka.
Sebagai contoh, pencipta lagu atau penulis lirik tidak kira berpengalaman atau baru boleh memasarkan karya mereka kepada wakil-wakil syarikat rakaman atau artis dari dalam serta luar negara .
Komposer boleh menyediakan bank lagu untuk dipasarkan atau boleh mencipta lagu serta merta berdasarkan kehendak syarikat rakaman atau artis. Penulis lirik juga boleh ditemui di situ serta bebas berbincang mengenai tema lirik dan sebagainya.
Ini akan memudahkan lagi setiap penerbit dan artis mendapatkan lagu serta menyuarakan apa jenis lagu yang mereka inginkan. Festival ini juga boleh menarik minat wakil syarikat rakaman atau artis luar untuk bekerjasama atau berkolaborasi dengan karyawan negara kita.
Selain mendapatkan karya berbentuk lagu dan lirik, festival ini juga merupakan platform kepada penerbit drama, penulis skrip, pengarah, pelakon dan semua yang terlibat dalam bidang penerbitan.
Mereka boleh bertukar-tukar fikiran bagi mendapatkan skrip terbaik, mendapatkan khidmat pekerja seni atau pekerja belakang tabir yang berpengalaman, baru dan tak kurang juga yang mahu mendapatkan peluang pekerjaan.
Penerbit filem dan drama ini juga boleh memasarkan karya mereka ke negara luar dengan kedatangan penerbit dari pelbagai negara seperti yang sering diadakan di Festival Industri Kreatif.
Pengusaha, orang awam atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mencari lukisan atau hiasan bagi dekorasi hotel, rumah dan sebagainya boleh datang ke festival ini bagi membeli lukisan atau bahan ukiran dari himpunan pelukis serta pengukir.
Mereka juga boleh membuat tempahan khas mengikut citarasa masing-masing serta terdapat banyak pilihan.
Persembahan ini boleh dipasarkan dengan lebih meluas dengan adanya sokongan dari pihak penganjur konsert, pengurusan acara yang mahu mendapatkan khidmat penggiat seni yang mana semuanya boleh diperolehi di bawah satu bumbung festival ini.
Saya melihat festival seumpama ini dapat memberikan manfaat seimbang kepada semua penggiat seni di negara ini.
Indah suara berlagu merdu,
Terubat rasa asyik mendengar
Meski tercipta seribu lagu
Sunyi dunia tidak tersiar.
WAJIB SIAR
RAR: Sebagai orang belakang tabir di dalam industri seni, saya dapat melihat sendiri terdapat perbezaan cara dan syarat bagi stesen radio terutamanya radio swasta untuk memainkan sesebuah lagu. Perkara ini hanya berlaku beberapa tahun kebelakangan ini malah menunjukkan perbezaan yang sangat ketara bagi setiap stesen radio kerajaan dan swasta.
Stesen radio kerajaan akan memasukkan setiap lagu atau album yang mereka perolehi ke dalam sistem setelah mendapat kelulusan dari panel penilai Rakam Khanah.
Lagu-lagu tersebut dimasukkan terus ke dalam sistem ke seluruh radio kerajaan di Kuala Lumpur serta di seluruh negara.
Potensi untuk lagu tersebut dimainkan di stesen radio kerajaan sangat besar dan mereka juga boleh memilih mana-mana lagu dari dalam album yang diberikan tanpa mengikut turutan atau bergantung kepada pilihan sendiri.
Saya mendengar keluh kesah rakan-rakan seangkatan di dalam industri tentang trend terbaharu radio swasta (bukan semuanya) yang mengenakan syarat seperti lagu tersebut harus diundi masuk untuk disiarkan serta perlu mendapat permintaan dalam jumlah atau bilangan yang tidak dinyatakan. Semua keputusan terletak kepada budi bicara dan ketetapan setiap stesen berkenaan.
Bagi kesaksamaan kepada semua artis rakaman, saya kira lagu-lagu yang diberikan harus diberi peluang untuk dimainkan.
Lazimnya, apabila lagu terdengar dipasang berulang kali di radio, secara tidak langsung pendengar akan menggemarinya.
Mungkin skim wajib siar bagi lagu-lagu artis tempatan di semua radio boleh difikirkan oleh pihak kementerian kerana cara ini akan memberikan kelangsungan yang positif bukan saja kepada syarikat rakaman dan artis tetapi kepada radio serta pendengar juga.
Unik negara kerana budaya
Seninya juga menambat hati
Kursus dilaksana hingga sarjana
Kerjaya terbina penuh kualiti.
KURSUS SENI
RAR: Industri seni kreatif ini mempunyai potensi dan masa depan yang baik kepada pendapatan negara. Bagi melahirkan insan seni yang berkualiti dan mempunyai pengiktirafan yang baik dalam bidang masing-masing, pihak kerajaan perlu memperbanyakkan lagi kursus seni di pusat pengajian tinggi .
Pembangunan industri seni dari segi penyediaan kursus-kursus dalam bidang kesenian dan pengurusan seni boleh diperkenalkan dengan menawarkan lebih banyak pilihan. Kursus ini adalah sebagai persediaan kepada mereka yang mahir dalam bidang ini untuk membuat pilihan kerana seni juga mempunyai peluang pekerjaan serta masa depan.
Kita tidak mahu dimomokkan dengan pandangan negative terhadap bidang seni kerana seni itu luas dan setiap orang dilahirkan dengan bakat, kebolehan serta kemahiran yang berbeza. Ada orang dilahirkan mempunyai suara yang baik, bakat bermain alat muzik, kebolehan mengukir dan membuat kerja seni halus, manakala ada yang boleh menulis dan tinggi pengetahuan kesusasteraan serta banyak lagi.
Mereka ini boleh memilih bidang dan kursus yang bersesuaian dengan kemahiran yang mereka ada.
Satu hari nanti, negara dapat melahirkan insan seni yang berkualiti dan standing dengan mereka yang terlibat dengan bidang profesional yang lain.
Kuala Lumpur kota metropolitan,
Makmur rakyatnya pelbagai bangsa
Budaya teater kita pentaskan
Hiburan pilihan sepanjang masa
PERSEMBAHAN PENTAS ALA WEST END
RAR: Salah satu kegemaran pelancong yang datang ke sesebuah negara adalah untuk menonton persembahan pentas mereka. Jika di London ada West End dan di New York ada Broadway (di mana pementasan mereka sentiasa penuh), negara kita juga boleh melakukan hal yang sama. Begitu juga di Korea, Thailand dan beberapa negara lain yang mempunyai pusat untuk mereka mengadakan persembahan pada setiap hari.
Kita juga mempunyai karya pementasan yang menarik dan boleh diketengahkan. Pihak kementerian mungkin boleh memikirkan perkara ini dengan mewujudkan satu tempat pementasan meskipun bukan dalam skala yang begitu besar. Biasanya pelancong suka menonton dalam keadaan santai dan tidak begitu padat.
Mungkin hari ini kita merasakan perkara ini mustahil tetapi jika diusahaka saya kira, pementasan ini akan menjadi salah satu aktiviti yang dapat diisi oleh para pelancong yang datang ke negara ini di samping penonton tempatan.
Pementasan ini boleh menggunakan penggiat teater atau budaya dan ini juga memberi pendapatan dan peluang pekerjaan kepada mereka.
* Rozi Abdul Razak merupakan seorang penggiat seni, pengurus dan teman baik penghibur No.1 tanah air, Datuk Siti Nurhaliza dan penulis buku sajak, Rumah Perasaan.
** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Rozi Abdul Razak
Mon Aug 28 2017
Siti Nurhaliza dijulang sebagai penghibur No.1 tanah air dan pernah memenangi anugerah muzik tempatan dan antarbangsa. - Gambar fail
Lelaki rogol anak kandung hingga lahir dua anak
Perbuatan suspek berusia 40-an itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 20 tahun membuat laporan polis.
Mangsa banjir di Kota Tinggi kekal 300 orang
Kesemua mangsa yang terjejas merupakan penduduk dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.
AWANI Ringkas: PM ikrar noktahkan miskin tegar di Kedah
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Mengambil manfaat daripada kisah lampau menerusi ziarah luar
Beberapa kepentingan Ziarah Luar termasuk mengambil pengajaran tentang sirah atau sejarah Rasulallah untuk dimanfaat secara bersama dalam konteks hari ini diterapkan semasa program Ziarah Luar yang dirangka Tabung Haji kepada petugas yang menjalankan operasi sempena musim haji tahun ini, 1445H/2024M.
Isu Gaza dijangka dominasi Sidang Kemuncak OIC
Pengerusi OIC tegaskan wujud keperluan mendesak untuk membincangkan konflik berpanjangan di Palestin dan kemusnahan akibat perang di Gaza.
Kepentingan ziarah luar di Madinah semasa musim Haji
Ikuti perkongsian Editor Astro AWANI yang juga petugas media musim haji 1445H/2024H mengenai kepentingan ziarah luar di Madinah bagi jemaah dan petugas haji sebagaimana ditekankan oleh Pembimbing Ibadat Haji Madinah, Ustaz Mahmad Zukri Mat Hassan.
AWANI Pagi: AWANI Pagi: Berita tumpuan & menarik di astroawani.com [5 Mei 2024]
Antara fokus Awani Pagi bersama Geegee Ahmad & Nursyazwani Saiful Sham;
Pesawat ringan terhempas di Tanjung Malim, dua mangsa selamat
Fakulti AI pertama negara dirasmikan 10 Mei ini - Zambry
Laporan menjelang musim Haji 1445H/2024M
Pesawat ringan terhempas di Tanjung Malim, dua mangsa selamat
Fakulti AI pertama negara dirasmikan 10 Mei ini - Zambry
Laporan menjelang musim Haji 1445H/2024M
Lelaki hina wajah anak Caprice tampil mohon maaf bersemuka
Pemuda bernama Irfan yang datang dari Johor dengan menaiki bas itu dilihat bertemu dengan Farra sambil melutut meminta maaf.
Isu Gaza dijangka dominasi Sidang Kemuncak OIC
Konflik di Gaza dijangka menjadi agenda utama di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam, OIC yang berlangsung di Gambia.
Sadiq Khan dipilih datuk bandar London untuk penggal ketiga
Sadiq Khan dari parti buruh, berjaya menewaskan calon dari parti konservatif dalam pilihan raya tempatan, menyaksikan beliau dipilih sebagai Datuk Bandar London untuk penggal ketiga.
60 tahun kemerdekaan, merdekakah industri seni Malaysia?
Industri seni bagaimana mahu dilihat dan dinikmati, bertepatan dengan usia kemerdekaan negara setelah mencecah 60 tahun