PELAKON dan penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida mempertahankan kenyataannya bahawa pelakon baharu yang tidak memiliki rupa yang cantik dan kacak jangan membuang masa menghadiri uji bakat.

Dalam masa sama, Aida berkata, beliau tidak berniat untuk menghina mana-mana pelakon baharu yang tidak memiliki rupa yang cantik dan kacak.

Sebaliknya, beliau berkata, pandangan yang dikongsinya adalah berteraskan senario semasa semata-mata.

"Saya mempertahankan kenyataan saya sebab itu (wajah yang cantik dan kacak) adalah tuntutan semasa dan saya bercakap atas platform saya (menjadi juri program pencarian bakat) sudah tentu perlukan rupa yang elok untuk jadi hero dan heroin.

"Cuba interviu bagi platform program Bintang Mencari Bintang atau Maharaja Lawak... itu bakat nombor satu janji boleh buat lawak, boleh hiburkan kita maka dialah juaranya," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.

Penerbit drama popular Halimah Jongang itu menjadi sasaran kritikan sebilangan besar karyawan filem dan drama tempatan kerana disifatkan tidak menghormati bakat seni.

Aida dikecam dan dibidas oleh antaranya seniwati Fauziah Ahmad Daud, pelakon Que Haidar dan Melissa Saila serta Sharifah Amani.

Kesemua mereka mengganggap kenyataan Aida tidak masuk akal dan seperti menghina golongan pelakon yang tidak memiliki wajah cantik dan kacak.

BACA: Ogy melenting, anggap kenyataan A Aida biadab

BACA: 'Patutlah kualiti pelakon semakin jahanam' - Sharifah Amani

Menjawab dakwaan beliau menghina golongan yang bukan rupawan, Aida menafikan berbuat demikian.

"Bila masa saya hina? Saya tak ada niat sebesar kuman untuk menghina sesiapa pun. Kalau nak kata saya hina kenapa pula saya ambil bakat-bakat baharu termasuk mereka yang tidak ada rupa untuk diberi pendedahan di bawah syarikat saya," katanya lagi.

Berkali-kali Aida menegaskan, hero yang tampan serta heroin yang jelita merupakan tuntutan dalam industri popular di Malaysia dan di seluruh dunia.

Kata Aida, jangan ada pihak yang cuba menafikan kenyataan itu.

"Mesej saya bersikap positif dan faham konteks kenyataan saya. Kaji balik atas platform apa saya bercakap. Terimalah kenyataan dan jangan jadi hipokrit. Hero dan heroin yang lawa memang sudah menjadi tuntutan," tegas Aida lagi.

Menurut Aida, selepas 31 tahun bergelar karyawan drama dan filem, beliau sudah semakin masak dengan sepak terajang dunia hiburan termasuk dikecam dan dibidas.

"Saya hanya menyatakan apa yang benar, kalau ada pihak yang tak bersetuju, tak apalah, nak buat macam mana," jelas Aida sambil memberitahu beliau tidak terkesan dengan segala bentuk kecaman atau kritikan.