Seorang pensyarah pelawat Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini membidas Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkaitan isu pengasingan kategori mengikut bahasa dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 kali ini.

Dr Ahmad Ibrahim yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri filem, dan turut dikenali sebagai Mat London, dilaporkan menyifatkan dua individu itu "menyibuk" dalam isu bahasa kebangsaan di FFM28.

"Selama ini dua orang ini tidak ambil peduli pun pasal perkembangan atau masalah industri filem kita.

"Malah tak pernah nampak beri sokongan rasmi untuk penganjuran festival filem, apatah lagi membantu jadi penaja FFM," beliau yang juga Penasihat Industri Kreatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dipetik berkata.

"Tetapi, bila ada isu macam ini, laju sahaja mereka tumpang sekaki bantai FFM. Bila orang industri minta tolong dengan AirAsia dan CIMB atas urusan filem, mereka tak layan pun," kata Ahmad kepada blog Tabloid Seni dalam satu artikel yang disiarkan pada Ahad.

Beliau menjelaskan, isu yang berlaku dalam penjurian FFM28 mengenai bahasa kebangsaan dan kategori yang diasingkan dalam festival kali ini adalah atas dasar serta semangat identiti perfileman nasional.

Ia sememangnya syarat penyertaan festival yang diguna pakai sejak dulu dan mengikut Dasar Perfileman Nasional (DFN), tegasnya.

"Kena faham isu ini terlebih dulu, jangan sedap mulut saja cakap. Kena hormati peraturan yang kita buat, kita ada dasar, peraturan dan Akta yang termaktub... termasuk syarat penyertaan FFM.

"Kita ada identiti nasional menerusi filem nasional dan bahasa nasional," ujarnya.

Mat London turut mendakwa pernah mendapat rungutan penggiat industri yang gagal mendapatkan pinjaman di CIMB dan ada juga menerima rungutan berkenaan diskaun tiket kapal terbang daripada AirAsia.

"Saya pernah dengar rungutan ada orang industri nak buat pinjaman di CIMB untuk projek filem, mereka tidak dilayan.

"Pernah pihak produksi minta diskaun tiket kapal terbang daripada AirAsia untuk ke destinasi tertentu, bukan nak minta free tetapi minta diskaun sikit. Namun malangnya permintaan mereka tidak dilayan," blog itu memetik Ahmad berkata.

"Sekarang Tony dan Nazir begitu ambil berat pasal FFM. Saya terharu... tetapi tidak perlulah nak sibuk masuk campur dalam isu FFM sekarang," katanya.

BACA: FFM: Tiada beza filem Bahasa Malaysia atau Bukan Bahasa Malaysia - KP Finas

BACA: [UNDIAN] FFM28: Perlukah pembikin filem diasingkan berdasarkan bahasa?

BACA: FFM: Apa saja filem yang lahir dari negara ini harus diterima sebagai filem Malaysia - Mahadi J Murat

Sewaktu pengumuman dibuat Rabu lalu, dua kategori baharu diumumkan bagi persaingan trofi iaitu 'Pengarah Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia Terbaik' dan 'Lakon Layar Filem Bukan Bahasa Malaysia Terbaik'.

Sewaktu penganjuran FFM27 lalu, kategori 'Filem Bukan Bahasa Malaysia Terbaik' telah mula diperkenalkan, dan menyaksikan filem The Journey membawa pulang anugerah tersebut.

Isu mengenai penambahan dua kategori yang diasingkan mengikut bahasa menjadi persoalan dalam FFM28.