Bekas teman wanita pelakon Hollywood, Jim Carrey, ditemui mati di apartment miliknya, disyaki membunuh diri.

Cathriona White, 28 tahun, ditemui terbaring di rumahnya di Los Angeles oleh dua rakannya pada Isnin.

Punca kematiannya masih disiasat.

White memuat naik status mengucapkan selamat tinggal di Twitter pada 25 September lalu.


Jurumekap itu turut memuat naik satu gambar dengan kapsyen yang dipetik daripada pementasan The Land of Heart's Desire, karya W.B Yeats, di laman Instagram sehari sebelum itu.




Carrey dalam satu kenyataan selepas kematian White berkata, beliau tumpang bersimpati dan bersedih dengan pemergian White yang digelarkannya sebagai 'bunga Ireland'.

Laporan TMZ.com menyebut White ada meninggalkan nota untuk Carrey sebelum membunuh diri. Namun isi kandungannya tidak didedahkan.

White dan Carrey mula berpacaran pada tahun 2012 namun mengakhiri hubungan itu selepas beberapa bulan. Mereka kemudiannya kembali bersama Mei lalu, namun Carrey dikatakan memutuskan hubungan mereka Khamis minggu lalu.