Mesyuarat yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan ahli-ahli persatuan industri filem tanah air hari ini menimbulkan satu persoalan sama ada akan berlaku perubahan terbaru dalam kategori anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata pihaknya akan meneliti hasil mesyuarat bersama Salleh Said sebelum melakukan pengumuman mengenai festival itu.

"Sama ada akan berlaku penambahan atau perubahan anugerah dalam festival, saya akan umumkan selepas ini. Kita akan memperincikan semula hasrat Menteri dalam mesyuarat ini sebelum mengumumkan kepada media," katanya kepada Astro AWANI selepas menghadiri mesyuarat tersebut di Hotel Seri Pacific, di sini.

BACA: Industri filem negara perlu tinggalkan isu remeh untuk berjaya

BACA: FDAM umum tidak lagi bersama FFM

BACA: Tiada amalan pilih kasih dalam pencalonan FFM28 - Yusof Haslam


Mesyuarat yang bermula pada jam 8 pagi itu diadakan bagi memberi penjelasan mengenai pendirian Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang sebelum ini memutuskan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik pada FFM dibuka kepada semua penggiat industri filem.

Kementerian itu turut memutuskan untuk mewujudkan kategori baharu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada festival tersebut.

Sementera itu, Datuk Mohd Khusairi berkata rata-rata yang hadir pada mesyuarat itu menyatakan rasa puas hati terhadap penjelesan yang diberikan oleh Datuk Seri Salleh Said.

"Kebanyakkan yang hadir telah pun mencapai kata persetujuan bagi memastikan festival dapat berjalan dengan baik dan dapat memuaskan hati semua pihak. Kita juga telah pun menyediakan kaedah penyelesaian bagi masalah ini," katanya lagi.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) , Datuk Yusof Haslam dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham.

Bagi Othman, beliau berkata FDAM akan menyertai FFM, selepas menerima penjelasan dalam mesyuarat.

BACA: FFM28: Pembahagian kategori utama mengikut bahasa dipalit kontroversi

BACA: FFM28: 'Pembahagian kategori mengikut bahasa bukan satu diskriminasi' - FDAM


Beliau juga berharap, kekecohan yang berlaku pada tahun ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

"Ada beberapa kelemahan yang perlu dibetulkan sebab sudah 28 tahun festival ini telah dianjurkan. Saya pun hairan kenapa ada 'peperangan' setiap kali ada FFM. Saya harap perkara ini tidak berulang."

Sementara itu, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa lega selepas mendapat penjelasan daripada pihak kementerian dan berharap festival kali ini berjalan dengan lancar.