Legenda industri muzik tanah air, Kesuma Booty menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun pada awal pagi Rabu.

Pemergian Allahyarham dikongsi oleh anaknya, Alfa Booty dalam status Facebook peribadinya.

Allahyarham Kesuma merupakan anak kepada legenda filem Melayu di era Jalan Ampas, Allahyarham Kasma Booty.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate.

Ketika hayatnya, Allahyarham Kesuma merupakan antara karyawan yang menjadi tulang belakang utama pada penubuhan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) pada 1989.

Allahyarham Kesuma juga antara pengasas Booty Boys Studio bersama-sama dengan adik-adiknya, Surya Booty dan Purnama Booty.

Booty Boys Studio merupakan antara studio rakaman hebat yang pernah ditubuhkan di Malaysia

Studio berkenaan pernah menjadi tumpuan sebilangan besar penyanyi ternama tanah air termasuk Datuk Sheila Majid.

Dua anak Allahyarham turut mewarisi bakat muzik iaitu Alfa dan Rumie.