Sentuhan Faizal Tahir sebagai ‘inspirer’ AF2013 untuk minggu pertama nampaknya menjadi. Bukan sekadar memberi motivasi dan tunjuk ajar kepada 12 bintang terpilih, usahanya dapat dilihat dari olahan lagu dan susunan muzik semasa konsert mingguan yang berlangsung Sabtu lalu.

Antara lagu yang berjaya mencuri hati ialah "Bukan Cinta Biasa" nyanyian duo AZHAEL dan FAIZUL dengan lagu "Dan Sebenarnya".

Mungkin itulah rahsia kejayaan Faizal ketika dia berhempas pulas dalam program realiti "One In The Million" pada tahun 2006 yang melayakkan dia muncul sebagai naib juara, seterusnya menjadi antara penyanyi dan pemuzik yang disegani di Malaysia hari ini.

Namun, dalam pada pujian diberikan, ada juga yang terbabas.

Lagu dendangan AMIRA "Ratuku" dari Awie. Dentuman drum yang keterlaluan sememangnya rimas didengar, sampaikan Zizan secara seloroh menyatakan ia seperti sambutan Hari Kemerdekaan.

Apa pun syabas buat pelantun lagu "Mahakarya Cinta" ini yang telah meletakkan satu aras yang tinggi untuk konsert pembuka tirai AF2013. Mampukah Faizal mengekalkan momentum persembahan untuk baki dua minggu lagi sebelum tugas ‘inspirer’ diserahkan kepada Melly Goeslaw dan Datuk Siti Nurhaliza?

#FAIZUL

Saya berdiri sambil menepuk tangan di dalam hati untuk Faizul. Walaupun menjadi peserta pertama, dia begitu gah mendendangkan lagu Yuna "Dan Sebenarnya".

Dengan derusan irama rock, tambah istimewa lagu itu dinyanyikan oleh seorang jejaka.

Lucu juga melihat aksi "terkinja-kinja"nya yang mengikut pukulan drum, langsung menjadikannya sebagai penambah keceriaan dalam persembahan itu.

Markah CK:
Keseluruhan: 4/5
Gaya: 3/5
Vokal: 3.5/5

#AZHAEL

Baru buka mulut, kumpulan Duo Azhael telah menambat hati penonton untuk mengundi mereka. Lagu yang dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza "Bukan Cinta Biasa" memberi tuah kepada mereka malam itu. Mereka berdua membuatkan anda tersenyum sepanjang persembahan mereka.

Markah CK:
Keseluruhan: 4.5/5
Gaya: 4/5
Vokal: 4/5

#INDAH

Tidak dapat disangkal lagi, pengalaman menghasilkan album bersama syarikat label SRC memberi kelebihan kepada INDAH. Sehinggakan lagu Hafiz "Ku Akui" yang dinyanyikannya seolah menceritakan pengalaman lukanya sendiri. Syabas!

Markah CK:
Keseluruhan : 4.8/5
Gaya: 4/5
Vokal: 4.5/5

#SANI #NABILA #AMIRA
Persembahan SANI, NABILA dan AMIRA pula sememangnya jauh ketinggalan berbanding peserta lain.

Pergerakan Sani tidak teratur serta perasaan gemuruh membuatkan kawalan vokalnya lari, ditambah pula dengan penghayatan yang tidak sampai.

Banyak yang harus dipelajari Amira. Lontaran vokal kedengaran pelik seperti tidak kena pada setiap nada yang diletakkannya.

Untuk Nabila pula, satu yang saya kurang faham. Kenapa tangannya asyik mahu mendepa saja?

Dikendalikan Zizan Razak, "AF2013" bersiaran secara langsung dari Auditorium Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya. di saluran Astro Ria 104 dan Maya HD 135. //