Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) bakal memukau penonton dengan kemewahan alunan muzik menerusi projek seni terbesar mereka bagi tahun 2016 iaitu Konsert Mega Sekolah pada November depan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeMKL, Muhamad Fauzi Mohamed berkata konsert selama dua jam itu bakal menyediakan peluang bagi pelajar sekolah seni untuk menonjolkan bakat melalui persembahan pop orkestra, kumpulan akustik, kumpulan gendang, seni tari, seni lukis dan teater.

"Konsert julung kali diadakan ini turut membariskan penyanyi dan pemuzik terkenal seperti Datuk Zainalabidin Mohamad, yang menyuarakan hasrat untuk membantu dan ahli genderang terkenal Steve Thorton.

"Konsert ini juga merupakan yang terbesar pernah diadakan oleh sekolah ini, yang melibatkan kesemua 151 pelajar sekolah," tambahnya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Kempen Mengumpul Dana dan Konsert Mega Sekolah SSeMKL, di The Square, Publika Solaris Dutamas, di sini.

Persembahan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) - Foto Astro AWANI

Persembahan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) - Foto Astro AWANI
Pada majlis pelancaran itu, beberapa persembahan terbuka turut diadakan oleh pelajar sekolah berkenaan yang memperlihatkan keupayaan mereka memainkan pelbagai jenis genre muzik secara langsung, seperti pop orkestra, koir dan akustik.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan dana bagi menjayakan konsert ini, boleh menghubungi Fauzi (019-5532553); Naib Yang Dipertua PIBG, Shariza Yob (016-9264020); dan Pengurus Projek, Faridah Abdullah (014-3622392).

SSemKL ialah sebuah Sekolah Berasrama Penuh khusus untuk membangunkan potensi dan bakat kesenian murid.

Ia merupakan sebuah institusi pendidikan di Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Penddikan Malaysia.