SEKALIPUN ditakdirkan tidak berpeluang menimang cahaya mata, vokalis utama kumpulan Hujan, Noh Salleh reda dan menerima ketentuan Yang Maha Esa.

Dalam masa sama, Noh memanjatkan kesyukuran di atas nikmat yang Allah berikan dalam rumah tangganya yang dibina bersama Mizz Nina.

Noh juga yakin bahawa nikmat bagi pasangan suami isteri untuk dianugerahkan cahaya mata merupakan keputusan Allah.

"Kalau nak cerita soal anak itu keputusan Allah. Kalau nikmat ada anak tu milik kami, nanti-nanti (kemudian) Dia bagi. Kalau dah bukan takdir kami menikmatnya, kami masih bersyukur," kata Noh seperti dilaporkan portal Mstar.

Noh dan Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 38, bernikah pada 1 Julai 2011.

Pasangan suami isteri yang cukup ideal itu kini berada di Syria bagi menyertai misi kemanusiaan selama dua minggu.

Menurut Noh, misi kemanusiaan yang disertai dia dan Mizz Nina saling tidak ubah seperti bulan madu buat mereka berdua.

"Saya sedar, ini rupa-rupanya trip honeymoon kami suami isteri sekarang. Ambil masa dua minggu untuk berkepit sama-sama buat kerja amal keliling dunia. Apa lagi nikmat dunia yang tuhan tak bagi lagi? Yang penting give back and be happy," kata Noh lagi.