KUALA LUMPUR :Pelakon dan bekas peserta Hero Remaja 2017-2018, Harris Annuar disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di sebuah klinik swasta di Bangi, Selangor pada Ahad.

Harris atau nama penuhnya, Mohammad Harris Shahrul Annuar berkata, dia disahkan positif setelah pulang bercuti dari Langkawi, Kedah.

“Semalam, saya baharu sahaja menjalani ujian saringan COVID-19 dan telah didapati positif virus ini untuk saringan pertama.

“Saya telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan kali kedua dan sedang menanti keputusan.

“Seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya perlu menjalani kuarantin di rumah,” beritahunya melalui satu perkongsian di akaun Instagram pada Isnin.


Selain dirinya, kata Harris, rakan baiknya, Tajuddin Bakar turut disahkan positif COVID-19 melalui ujian yang sama.

Oleh yang demikian, Harris meminta mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan dirinya sejak dua minggu yang lalu untuk melakukan ujian saringan.

“Alhamdullilah, saya sudah maklumkan kepada semua yang mempunyai kontak rapat kepada saya.

“Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan saya ini bermaksud mereka yang berhubung dengan saya tanpa menggunakan pelitup muka,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Harris turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku ketika ini.