Pelakon Sidek Hussain meninggal dunia malam Ahad setelah menderita ketumbuhan di wajahnya sejak 30 tahun lalu, yang dikenal pasti bersifat kanser tahap keempat.

Allahyarham Sidek, 63, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 22 Mac lalu selepas pengsan ketika membeli barangan keperluan dapur bersama cucunya.

Keadaan Allahyarham dilaporkan bertambah kritikal sejak beberapa hari lalu dan doktor tidak dapat menjalankan rawatan kimoterapi kerana keadaannya yang terlalu lemah.

Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20an lagi.

Selain kanser, Allahyarham turut mengidap penyakit jantung dan paru-paru.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman dan lima orang anak.

Jenazah dimandikan di Masjid Kuang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor tengahari Isnin.

Allahyarham mula dikenali pada 1982 selepas membintangi filem Toyol sebagai pelakon utama, diikuti filem Potret Maria.

Pada 2011, Allahyarham Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.

Al-Fatihah