Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,268 saman dalam masa 48 jam sejak penguatkuasaan yang baharu dilaksanakan pada 1 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata operasi itu melibatkan penguatkuasaan kesalahan yang dirakam melalui kamera bagi dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Pengambilalihan oleh JPJ ini meliputi penguatkuasaan bagi pengoperasian ke atas 45 buah kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 buah kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.



“Sejak bermulanya penguatkuasaan pada 1 September 2018, JPJ telah memulakan operasi ke atas 45 buah kamera AWAS.

“Sehingga hari ini, jumlah saman yang telah dikeluarkan pada 1 September adalah 614 saman bagi Mereka yang memandu melebihi had laju, dan 79 yang tidak mematuhi lampu isyarat merah.


BACA: Diskaun insurans untuk pemandu berhemah sedang dipertimbang - Anthony Loke

BACA: Tiada diskaun dan pengecualian saman AWAS - Anthony Loke


“Pada 2 September pula, sebanyak 507 yang memandu melebihi had laju dan 68 saman dikeluarkan untuk kesalahan tidak memeatuhi lampu isyarat merah,” kata Anthony pada sidang media di Pusat Kawalan AWAS di Kelana Jaya.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Shaharuddin Khalid dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar Mohd Khairul Adib Abdul Rahman.