Tutup

Tiada diskaun dan pengecualian saman AWAS - Anthony Loke

Tiada diskaun dan pengecualian saman AWAS - Anthony Loke
ANTHONY: Sekiranya OKS tidak menyelesaikan kompaun yang ditetapkan, kes ke atas OKS akan didakwa di mahkamah dan jika masih gagal hadir ke mahkamah seperti yang dikehendaki, mereka akan disenarai hitam. - Astro AWANI
KELANA JAYA: Tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) mulai 1 September 2018. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Orang Yang Kena Saman (OKS) akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan apabila kompaun ini dibayar.
“Sekiranya OKS tidak menyelesaikan  kompaun yang ditetapkan, kes ke atas OKS akan didakwa di mahkamah dan sekiranya OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti yang dikehendaki, mereka akan disenarai hitam dan dihalang daripada melakukan apa jua transaksi  serta urusniaga di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehinggalah kes ini diselesaikan.

“Kesan daripada tindakan senarai hitam ini ialah OKS akan dihalang daripada mendapatkan lesen kenderaan motor (cukai jalan), mendapatkan atau memperbaharui lesen memandu atau melakukan apa-apa urusan atau transaksi dengan JPJ,” tegas Anthony pada sidang Media di Pusat Kawalan AWAS di Kelana Jaya.

 

BACA: Diskaun insurans untuk pemandu berhemah sedang dipertimbang - Anthony Loke

BACA: 1,268 saman AWAS dikeluarkan dalam masa 48 jam - Anthony Loke


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Shaharuddin Khalid dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar Mohd Khairul Adib Abdul Rahman.

Namun begitu, pengecualian diberikan kepada tiga jenis kenderaan iaitu kenderaan rasmi diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut berkata lokasi pemasangan dan operasi kamera-kamera AWAS ini akan di pasang 3 papan tanda pemberitahuan “ZON OPERASI KAMERA” iaitu antara jarak 1km, 2km hingga 3km sebelum kamera.

Manakala bagi lokasi merakam kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah akan dipasang 3 papan tanda pemberitahuan juga dalam jarak 50 meter hingga 1 km sebelum sampai ke lokasi kamera.