ANTARA pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah 10 berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 4 Mei 2020.

PERKEMBANGAN ISU COVID-19

1) COVID-19: 71 pesakit pulih, 55 kes baharu, dan tiada kematian.

71 kes COVID-19 di Malaysia dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 4,484 kes.

2) Angka korban COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 864 kes

Indonesia mencatatkan 19 kematian akibat virus COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 864 kes dengan separuh daripadanya berlaku di Jakarta.

Menurut jurucakap kerajaan Indonesia mengenai COVID-19, Achmad Yurianto, dalam tempoh tersebut jumlah kes baharu positif COVID-19 adalah 349 kes, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11,587 kes manakala 24,020 orang disenaraikan sebagai pesakit dalam pengawasan.

3) Kluster Taman BDC Kuching jangkiti tiga generasi - Dr Noor Hisham

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu pertambahan kluster baharu di Sarawak dikenali sebagai kluster Taman BDC di Kuching.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat 37 kes positif dilaporkan dari kluster tersebut.

Kluster tersebut juga dipercayai berpunca daripada perhimpunan tabligh Sri Petaling.

4) Penduduk Labuan digesa bantu kekalkan status zon hijau COVID-19

Diisytihar zon hijau COVID-19 bukanlah isyarat bagi penduduk setempat untuk mengambil pendekatan endah tak endah dalam mengamalkan jarakan sosial, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata orang ramai harus menerima hakikat untuk berubah kepada kehidupan normal baharu.

"Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam peraturan jarakan sosial, adalah intervensi kesihatan awam yang penting, dapat membantu menghentikan penularan COVID-19.

5) Lapan kawasan PKPD ditamatkan, semalam, hari ini dan esok

Sebanyak lapan kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan bermula semalam, hari ini dan esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, enam daripadanya telahpun ditamatkan semalam melibatkan kawasan Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India.


NORMAL BAHARU

1) Normal baharu: Penumpang pengangkutan awam wajib pakai penutup hidung, mulut - Wee

Semua pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negara diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata biarpun tiada peruntukan undang-udang berkaitan pemakaian topeng muka itu, namun ia dianggap satu keperluan buat masa ini.

2) MOTAC tangguh semua urusan bahagian pelesenan pelancongan sehingga 12 Mei

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menangguhkan semua urusan berkaitan perkhidmatan kaunter di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat MOTAC Negeri sehingga 12 Mei.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan antara perkhidmatan yang ditangguhkan melibatkan bahagian pelesenan syarikat pengendali pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan penarafan bintang ke atas Premis Penginapan Pelancong, Spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK).

3) PKPB: Melaka tidak benarkan aktiviti sukan, makan di premis

Kerajaan negeri Melaka tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan dan makan di premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksana hari ini, kata Ketua Menterinya Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata sebaliknya, hanya industri pembuatan dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu dan pengoperasinya perlu mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

4) Penggiat e-dagang patuhi SOP, amalkan langkah pencegahan

Kalangan penggiat e-dagang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan meneruskan langkah-langkah pencegahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demi keselamatan kesihatan pekerja dan pembeli.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata keadaan masih terlalu awal untuk mengulas perkembangan yang bermula hari ini kerana syarikat terbabit juga perlu meneliti pengumuman kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri.

5) Topeng mulut dan hidung tidak wajib, tetapi sangat digalakkan - Dr Noor Hisham

Penggunaan topeng penutup mulut dan hidung tidak diwajibkan ketika iniu namun ipenggunaannya adalah sangat digalakkan bagi mencegah jangkitan COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, penggunaan topeng itu digalakkan terutamanya ketika berada di kawasan orang ramai.

"Memakai topeng penutup mulut dan hidung digalakkan bukan satu kewajipan tetapi ia sangat digalakkan," katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia pada Isnin.