Seramai 120 mangsa pembuangan bahan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi pencemaran yang berlaku 7 Mac lalu.

Laporan dibuat di balai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam kira-kira pukul 4 petang hari ini (Sabtu).

Kesemua mereka diwakili peguam Kamarudin Ahmad.

Kamarudin berkata, kesemua tuntutan saman ganti rugi akan dilakukan Jun depan setelah semua maklumat termasuk laporan kesihatan yang lengkap diperoleh.

“Kita akan saman tuntutan ganti rugi (daripada pihak) yang kita sudah kenal pasti bertanggungjawab, ada unsur kecuaian. Kita bermula dengan Kerajaan Negeri Johor selepas itu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dan kita sedang kenal pasti kilang-kilang yang terlibat,” ujar Kamarudin.

Beliau berkata, asas tuntutan ganti rugi ekoran kecuaian pihak berkuasa dan kilang terlibat kerana menjadi punca pencemaran hingga menjejaskan kesihatan dan nyawa mangsa terlibat.

Tuntutan juga dibuat kerana salah seorang anak guamnya mengalami masalah urat saraf hingga tidak boleh berjalan.

Difahamkan, tuntutan pada petang Sabtu juga disebabkan rasa bimbang anak guam mereka pada jangka masa panjang.

Pada 7 Mac lalu, Pasir Gudang gempar apabila lebih 5,000 mangsa terdedah kepada persekitaran yang menjejaskan kesihatan gara-gara pembuangan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim.