Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis ke atas beberapa pemimpin tertinggi negara dan ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan.

Tegasnya, perbuatan mereka turut dikatakan melanggar peruntukan undang-undang jenayah di bawah seksyen 218 Kanun Keseksaan.

"Saya telah membuat laporan polis terbaharu ke atas beberapa pemimpin negara serta keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB di atas perbuatan menyembunyi kesalahan dalam urusan kerajaan.

"Perbuatan mereka merupakan pembohongan dan penipuan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana ini adalah sikap yang tidak amanah di dalam melaksana tanggungjawab serta tugasan kerajaan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Kata Khairuddin, laporan itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada petang Ahad.


Salinan laporan polis yang dibuat Khairuddin terhadap beberapa pemimpin negara dan ahli lembaga pengarah 1MDB - Sumber gambar Khairuddin

BACA: Bohong isu wang 1MDB di Bank Singapura satu kesalahan jenayah - Dr Mahathir

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan segala keterangan berkenaan isu 1MDB berhubung wang berjumlah US$1.103 bilion (RM3.6 bilion) yang dipindahkan dari Cayman Islands adalah tidak benar.

Menerusi tulisan terbaharu di blognya, chedet.cc, Dr Mahathir berkata segala keterangan berhubung perkara tersebut sebelum ini melanggar peruntukan di bawah Seksyen 218 Kanun Keseksaan.

Dr Mahathir yang juga bekas menteri kewangan berkata kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun di bawah undang-undang itu.

BACA: Tubuh Pasukan Petugas Khas siasat 1MDB - LPPR

Oleh itu Khairuddin berkata, polis perlu segera menyiasat di mana keseluruhan wang yang dilabur di kepulauan Cayman.

"Ke manakah dan di manakah wang-wang tersebut berada pada masa kini?

Saya berharap polis sentiasa bersikap profesional di dalam mengendalikan kes 1MDB agar siasatan dibuat secara menyeluruh dan komprehensif.

"Dalam apa juga keadaan, saya amat meyakini sikap profesionalisme polis selama ini selepas saya membuat beberapa laporan mengenai isu 1MDB.

"Layanan PDRM amat adil serta saksama kepada rakyat bawahan seperti saya.

BACA: 1MDB: 'Dokumen akan dimanipulasi jika lembaga pengarah tak dipecat' - Khairuddin

Rakyat harus bersikap tegas dalam memantau serta bertindak untuk melawan segala bentuk rasuah di negara kita seandainya kita mahukan negara ini terus makmur," katanya.

Jelasnya lagi, tindakan itu juga diharapkan akan menjadi pengajaran kepada GLC lain agar memikul tanggungjawab secara amanah kerana tadbir urus awam telah berubah terhadap pihak berkenaan.

BACA: 1MDB: "Saya beritahu PM pecat semua ahli lembaga pengarah syarikat" - Muhyiddin

"Rakyat mempunyai hak dan akan bertindak membantu pihak berkuasa untuk melawan membanteras rasuah di negara ini secara habis-habisan.

"Sesungguhnya amalan rasuah yang jijik itu adalah perosak bangsa, agama serta tanah air," ujarnya.