Seramai 47 pelarian etnik Rohingya ditemui di kawasan pesisir pantai Sungai Baru, Simpang Empat dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, selepas ditinggalkan tekong yang dibayar untuk membawa mereka ke negara ini.

Kumpulan pelarian lelaki berumur 14 hingga 30 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumpur, letih dan kelaparan ketika memasuki kampung berdekatan.

Ketua Polis Perlis SAC Datuk Noor Mushar Mohamed berkata siasatan awal mendapati 47 orang pelarian di kawasan perairan itu namun 41 orang sahaja dapat ditahan manakala enam lagi masih tidak dapat dikesan.

"Mereka ini membayar tekong Thailand RM4,000 seorang untuk dibawa ke Malaysia dengan sebuah bot besar yang mengambil masa satu malam.

"Bagaimanapun, tekong ini telah meninggalkan mereka di perairan Sungai Baru dan kumpulan pelarian ini terpaksa berjalan meredah lumpur kira-kira sejam untuk sampai ke darat," katanya dalam kenyataan media petang ini.

Noor Mushar berkata kumpulan pelarian itu kemudiannya berpecah memasuki kampung dalam keadaan berlumpur, letih dan lapar kerana tiada tekong tempatan (Malaysia) untuk menguruskan pergerakan mereka ke destinasi seterusnya, semasa tiba di negara ini.

Beliau berkata kesemua pelarian yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Perlis untuk tindakan lanjut dan berharap orang ramai yang mengetahui kedudukan enam lagi pelarian tersebut supaya melaporkannya kepada polis.

-- BERNAMA