KOTA KINABALU: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM1,500.

Jazul Abdullah, 35, yang berpangkat Laskar Kelas 1 bertugas di Pejabat APMM Sabah didakwa menerima wang itu daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas bot dan lelaki itu yang mempunyai lesen bot tamat tempoh.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan pejabat Sabah Credit, Alamesra di sini pada 7.30 malam, 17 Mac tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA