Penantian setelah sekian lama berakhir apabila Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim hari ini disahkan akan menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara yang baru.

Pelantikan tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Muhammad akan menjadi gabenor bank pusat berkuat kuasa 1 Mei ini.

Astro AWANI meninjau apa reaksi komuniti ekonomi negara kepada pelantikan ini.

BACA: Janji Gabenor Bank Negara Malaysia baru

Muhammad berjanji untuk memastikan kewangan dan ekonomi negara sentiasa stabil. - fotoBERNAMA
1. Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri:

"Ini merupakan satu kesinambungan. Datuk Muhammad Ibrahim antara individu yang paling lama di BNM.

"Beliau seorang tokoh yang tidak asing lagi kepada komuniti ekonomi Malaysia dan dunia, saya yakin beliau akan cemerlang dengan tugasnya."
Saya yakin (Datuk Muhammad Ibrahim) akan cemerlang dengan tugasnya.

Mustapa turut mengucapkan terima kasih kepada Zeti yang disifatkan beliau sebagai antara gabenor bank pusat terbaik di dunia.

2. Datuk Jalilah Baba, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA):

Jalilah berpendapat pelantikan Muhammad adalah langkah tepat kerana beliau adalah "orang kanan" dalam kepimpinan BNM.

"Beliau akan memastikan kestabilan kewangan negara berterusan kerana beliau mempunyai kemahiran yang betul dan telah diinstitusi untuk tempoh yang agak lama," kata Jalilah.

Beliau menambah, Muhammad dijangka memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Najib, yang juga Menteri Kewangan.

"Saya sendiri amat gembira dan menyokong langkah ini. Beliau mempunyai pengalaman dan segala apa yang diperlukan untuk jawatan tersebut."
(Datuk Muhammad Ibrahim) mempunyai pengalaman dan segala apa yang diperlukan untuk jawatan tersebut.

3. Firdaos Rosli, Felo Ekonomi Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS):

Firdaos berkata, keputusan ini menjadi lambang bahawa BNM merupakan institusi kewangan yang masih bebas.

"Ini satu langkah positif kerana ia menunjukkan kerajaan memberi kuasa yang secukupnya kepada BNM untuk menentukan kepimpinannya secara organiknya daripada bank itu sendiri."

4. Manokaran Mottain, Ketua Pakar Ekonomi, Alliance Bank Malaysia Bhd:

Manokaran menjangka dasar kewangan semasa akan kekal di bawah kepimpinan Muhammad; sesuatu yang positif bagi pasaran kewangan.

"Muhammad adalah Gabenor yang memang berasal dari BNM seperti Tan Sri Zeti, sangat lama dilatih untuk menggantikan Zeti.

"Pengalaman Muhammad yang luas menjadikannya calon yang paling sesuai untuk memimpin bank pusat."

5. Song Seng Wun, pakar ekonomi Perbankan Peribadi CIMB:

Seng Wun berpendapat pelantikan Muhammad akan dilihat sebagai satu langkah yang positif.

"Pasaran mahu pegawai bank pusat yang berpengalaman menerajui bank pusat dan menggantikan Tan Sri Zeti untuk memastikan keseragaman dalam dasar monetari."
Pasaran mahu pegawai bank pusat yang berpengalaman menerajui bank pusat.

6. Reaksi bonus – Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

Zeti berkata pelantikan Muhammad sesuatu yang sudah tentunya positif untuk negara.

"Sebagai sebahagian daripada pasukan penggubal dasar di Bank Negara, beliau akan memberikan kesinambungan dan kepastian yang sangat diperlukan dalam tempoh tidak menentu ini.

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam keupayaan beliau untuk memimpin bank pusat bergerak ke hadapan."