SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Hari pertama persekolahan

Jika semalam pelbagai gelagat murid Tahun Satu dirakam di Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan, hari ini pula bakal menyaksikan pelbagai telatah si cilik pada hari pertama persekolahan 2020 di negeri-negeri lain, antaranya Selangor dan Kuala Lumpur.

Turut mewarnai hari pertama persekolahan hari ini ialah usaha dua guru di Pahang yang mengenakan kostum Spiderman dan Minny Mouse bagi menyambut pelajar tahun 1.

Tidak lupa juga, lawatan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ke Sekolah Kebangsaan Setiawangsa di Kuala Lumpur pagi ini bagi melihat sendiri suasana di sana.


2. Ingkar larangan merokok

Perintah larangan merokok di semua restoran dan premis makanan yang mula dilaksanakan sejak semalam dilihat kurang diberi perhatian.

Masih ada yang ingkar dengan arahan tersebut dengan alasan "tidak tahu" walaupun penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan telah dijalankan selain kompaun RM250 yang mula dikuat kuasa semalam.


3. Hujan lebat berterusan, 9 maut setakat ini

Sekurang-kurangnya sembilan maut dalam banjir di beberapa kawasan di Jakarta sejak semalam.

Keadaan dijangka menjadi lebih buruk apabila hujan lebat terus-menerus membadai hingga menyebabkan beberapa jalan raya utama di ibu kota Jakarta dinaiki air sehingga satu meter.

Pihak berkuasa dalam pada itu terpaksa menutup bekalan elektrik di kawasan tertentu bagi memastikan keselamatan penduduk.

Turut terjejas perkhidmatan komuter dan kereta api.


4. Earthshot Prize - misi pulih dunia

Jika anda sayangkan dunia dan punyai idea menyelamatkannya, mungkin rancangan anda bakal mendapat perhatian.

Putera Diraja England, Putera William dan isteri Kate Middleton bersama personaliti alam sekitar terkenal Sir David Attenborough tampil dengan inisiatif 'The Earthshot Prize’ yang menawarkan ganjaran berprestij demi menggerakkan usaha memulihkan dunia untuk satu dekad ke hadapan.

Hadiah berjumlah berpuluh juta pound sterling ditawarkan kepada lima pemenang setiap tahun untuk jangka masa 10 tahun.


5. Liga Perdana Inggeris

West Ham 4-0 Bournemouth
Manchester City 2-1 Everton
Norwich City 1-1 Crystal Palace
Arsenal 2-0 Manchester United
Brighton 1-1 Chelsea
Newcastle 0-3 Leicester City


Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Selasa di sini.