SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Tahun Tikus Logam

Hari ini, Tahun Baharu Cina disambut di negara ini dengan penuh tradisi dan semangat perpaduan serta persefahaman antara semua kaum.

Tradisi bermula dengan acara makan besar menjelang tahun baru diikuti kunjung-mengunjung menerusi penganjuran Rumah Terbuka.

Tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir di majlis Rumah Terbuka anjuran parti Gerakan yang diadakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur.

2. Kes koronavirus semakin meningkat

Penularan koronavirus yang berasal dari China kini memasuki fasa baharu di Malaysia susulan terdapat kes positif di negara jiran, Singapura.

Wujud kebimbangan ia mungkin menjangkiti warga Malaysia, khususnya di Johor.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dijangka mengadakan sidang media di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kementerian Kesihatan, Putrajaya pagi ini.

Semalam, Ketua Pengarah Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, spesimen yang diambil daripada lapan warga China yang memasuki Malaysia dari Singapura, belum disahkan keputusannya.

Katanya, spesimen terbabit tiba di Institut Penyelidikan Perubatan untuk diuji kira-kira jam 8 malam tadi dan hanya akan diketahui keputusannya hari ini.

Sementara itu, di peringkat global, angka kematian akibat penularan koronavirus di China meningkat kepada sekurang-kurangnya 26 manakala kes jangkitan meningkat kepada 830.

Perancis pula mengesahkan tiga kes koronavirus, sekali gus menjadi negara Eropah pertama melaporkan kes berkenaan.

3. Hukuman atas pemandu mabuk

Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Kementerian Pengangkutan bersedia mengkaji dan memperketatkan undang-undang sedia ada, berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk kata Timbalan Menterinya Datuk Kamarudin Jaffar.

4. Surat tawaran haji mulai Selasa

Lembaga Tabung Haji akan mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1441H/2020M secara berperingkat mulai Selasa, kata Pengurus Besar Kanan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kuota rasmi haji untuk Malaysia dinaikkan kepada 31,600 tahun ini, berbanding 30,200 sebelum ini.

5. Bola sepak dunia

French Ligue 1
Nice 1 -1 Rennes

Bundesliga
Borussia Dortmund 5-1 FC Koln

Italy Serie A
Brescia 0 -1 AC Milan

Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Jumaat di sini.