SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Pesawat bawa balik warga Malaysia selamat tiba

Pesawat AirAsia AK8265 yang membawa pulang warga Malaysia dari Wuhan, China selamat tiba di KLIA sebentar tadi.

Penumpang terdiri daripada 141 rakyat Malaysia termasuk pasangan dan anak mereka.

Sejumlah 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) ini ekoran wabak penyakit 2019-nCoV di Wuhan.



2. Dakwaan rasuah AirAsia

AirAsia menegaskan tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) membabitkan Airbus dan penyaluran maklumat serta pengesahan kepada SFO.

Meskipun ketika ini ia hanya berdasarkan kenyataan daripada pihak berkuasa UK, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Adakah kes rasuah membabitkan AirAsia ini akan melalui siasatan yang sama, dan apa kesannya kepada Malaysia?

Astro AWANI masih menunggu penjelasan daripada wakil AirAsia mengenai maksud sebenar di sebalik dakwaan tersebut.

Ikuti perkembangan terkini berhubung dakwaan terhadap dakwaan rasuah membabitkan AirAsia dari semasa ke semasa.



3. Lawatan kerja Imran Khan bermula

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Imran Khan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi ini bagi membincangkan, antara lain, kerjasama dua hala yang sedia wujud dan bertukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.



4. Laporan terkini koronavirus

Wabak koronavirus yang berpunca dari Wuhan, China setakat awal pagi ini telah meragut 362 nyawa dan menjangkiti lebih 17,400.

Ikuti Lapor Langsung untuk mengetahui berita terkini dari semasa ke semasa berhubung wabak koronavirus di seluruh dunia.



5. Kerajaan kesal Sajjad bertelekung di Tanah Suci

Kerajaan kesal dengan tindakan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dan rakan-rakan yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.