SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Terkini COVID-19

Empat kes baharu disyaki COVID-19, penyakit novel koronavirus direkodkan di Sarawak pada Khamis.

Dua daripada pesakit dalam siasatan (PUI) itu berada di Hospital Miri dan masing-masing seorang di Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Sementara itu, 50 murid kelas program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya diarah menjalani kuarantin di rumah selama dua hari bermula Khamis.

Arahan kuarantin dikeluarkan apabila ahli keluarga salah seorang murid kelas tersebut demam selepas pulang dari Singapura.

Dalam perkembangan lain, Universiti Awam (UA) mempunyai kuasa autonomi dalam membuat sebarang keputusan melibatkan arahan penangguhan kelas pengajian susulan penularan jangkitan COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata keputusan yang sama telah dilaksanakan UA apabila negara dilanda jerebu sebelum ini, bagi memastikan kesihatan setiap warga universiti terjaga.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng hidung dan mulut mencukupi untuk keperluan orang ramai dalam mengawal jangkitan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan membeli stok sedia ada sebanyak 400,000 keping topeng hidung dan mulut daripada pengeluar tempatan dan strategi pengedaran kepada orang ramai akan diumumkan kemudian supaya masyarakat tidak melakukan pembelian panik dengan jumlah yang banyak.

Ikuti LAPOR LANGSUNG untuk perkembangan terkini COVID-19 dari semasa ke semasa.



2. Tun M, Xi Jinping bincang COVID-19

Presiden China XI Jinping mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penularan wabak COVID-19, lapor lidah rasmi Kerajaan Republik Rakyat China CCTV.

Laporan itu menulis, epidemik berkenaan boleh memberi impak kepada perhubungan antara kedua-dua negara, tetapi persahabatan erat antara China dan Malaysia tetap utuh.




3. Kematian ke-3 di luar China

Jepun mengesahkan kematian pertama akibat jangkitan COVID-19 di negara itu.

Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato berkata mangsa merupakan wanita berusia 80-an yang telah dirawat di hospital sejak 1 Februari.

Mangsa pada awalnya didiagnosis menghidap pneumonia namun disahkan menghidap COVID-19 setelah kematiannya.

Kematian ini menjadikan kes korban ketiga di luar China.



4. Tun M akan kota janji - Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mengotakan janjinya bakal melepaskan jawatan sebagai perdana menteri seperti yang diumumkan beberapa kali, sebelum ini.

Ketegasan sekali lagi disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui satu kenyataan, beliau turut mengulangi bahawa perdana menteri akan terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Keputusan peralihan kuasa itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan, 21 Februari nanti.




5. Penjara 20 tahun untuk pemandu mabuk

Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.