SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Perintah Kawalan Pergerakan (Hari ke-2)

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

Muhyiddin menegaskan tujuan utama perintah yang dilaksanakan mulai semalam itu dikeluarkan adalah mengelak penularan wabak dan ia tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat, terutamanya yang balik kampung, berterusan.

Orang ramai perlu memahami bahawa perintah yang dikeluarkan akan membantu memutuskan rantaian jangkitan, seterusnya mengurangkan jumlah pesakit.

Seruan sama juga dilontarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meminta seluruh rakyat agar terus kekal berada rumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pandangan sama turut dilontarkan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang menyeru agar rakyat Malaysia tidak keluar buat masa ini.

Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggunakan tajuk single terbaharu beliau '7 Nasihat' – sebagai memberikan panduan kepada pengikut di laman sosialnya.

Berlatarkan gambar beliau dan rapper Kmy Kmo dan Luca Sikt, '7 Nasihat' tersebut termasuk menyarankan orang ramai supaya berada di rumah dan menjauhkan diri daripada berinteraksi secara sosial.



2. Operasi ingkar arahan

Polis Selangor mengadakan operasi besar-besaran berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 8 malam, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Fadzil Ahmat berkata pihaknya menerima aduan terdapat segelintir orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah yang dikeluarkan kerajaan.

Berikut beberapa perkara tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang perlu anda tahu:

- Pendidikan

- Pengajian Tinggi

- Pengangkutan

- Hak pekerja

- Sektor yang dikecualikan

- Kelulusan operasi kepada industri pembuatan produk kritikal



3. Perhimpunan tabligh di Sulawesi

Acara Ijtima of Asia 2020 di Indonesia yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh, dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

Perhimpunan tersebut dijangka dihadiri kira-kira 8,695 peserta dari 48 negara antaranya Thailand, Arab, India, Filipina dan Malaysia.




4. Maya Matahari meninggal dunia

Penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Matahari, Maya meninggal dunia akibat kanser pada Rabu.

Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee difahamkan menghidap kanser tisu sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, Allahyarham yang berusia 44 tahun difahamkan tidak mahu berita penderitaannya dihebahkan kepada peminat, media dan masyarakat.

Beberapa artis popular yang juga rakan baik Allahyarham Maya seperti Haiza dan Ieda Moin ketika dihubungi memberitahu, mereka juga baru mendapat khabar duka mengenai pemergian penyanyi berkenaan.




5. Kempen Melawat Malaysia 2020 batal

Kempen Melawat Malaysia (VM2020) dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan negara dan dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa sama, operasi semua perkhidmatan kaunter dan atas talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat MOTAC Negeri berhubung pelesenan pelancongan turut dibekukan.