Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), yang mengambil alih projek sekolah agama terbengkalai oleh pemaju sejak Oktober lalu, berjaya menyiapkan 38 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abdul Mutalip Abd Rahim berkata projek yang membabitkan pembinaan 77 buah SAKJ itu, dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun tahun depan.

Beliau berkata status kemajuan perancangan sehingga September lalu melebihi jangkaan iaitu 70 peratus daripada 57 peratus yang dijangkakan.

"Ini merupakan perkembangan yang baik, namun kita lihat daripada perkembangan itu, kemungkinan projek boleh disiapkan lebih awal daripada yang dijangka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Majlis Tilawah Al-Quran SAKJ peringkat negeri dan penyerahan kunci Projek Pembangunan SAKJ di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Abdul Mutalib juga berkata sebanyak 27 buah sekolah lagi mampu disiapkan menjelang hujung tahun ini.

Sebelum ini, projek pembangunan SAKJ diusahakan MysyNet Development namun kerajaan negeri mengarahkan KPRJ mengambil alih projek itu kerana pemaju berkenaan hanya menyiapkan 18 buah SAKJ berbanding 95 SAKJ yang dijanjikan.