Pendekatan mesra masyarakat yang diterapkan Allahyarham Datuk Dr Ab Rahman Ismail dalam memimpin kontinjen Kelantan membuatkan beliau disegani dalam pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata Allahyarham merupakan seorang yang mudah mesra tetapi tegas dalam melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya.

Menurut Zulkifli beliau kagum dengan perwatakan Ab Rahman dalam memimpin kerana Allahyarham pernah beberapa kali membacakan khutbah Jumaat di masjid di Kelantan.

"Perwatakan dan sikap ini membuatkan Allahyarham dihormati dan disegani oleh masyarakat di Kelantan. Kami di PDRM merasai kehilangan beliau," katanya ketika ditemui di Masjid Bukit Aman, di sini hari ini.

Zulkifli berkata beliau sempat melawat Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

"Allahyarham mengadu sakit dada semalam dan dimasukkan ke IJN," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat PDRM.

Mazlan yang juga bekas Ketua Polis Kelantan berkata Allahyarham yang gembira dapat berkhidmat di Kelantan mempunyai banyak perancangan untuk negeri itu.

"Allahyarham mudah mesra dan sangat senang untuk bergaul," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai solat jenazah Allahyarham yang diimamkan Imam Besar Masjid Bukit Aman Supt Ghazali Daud.

Jenazah yang tiba di masjid itu kira-kira 5.30 petang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak, Bachok.

Ab Rahman meninggal dunia pada 3.45 petang tadi di IJN akibat komplikasi kesihatan termasuk sakit jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Che Nat Hassan dan tujuh orang anak.

Ab Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan pada 18 Julai tahun lepas menggantikan Mazlan.

-- BERNAMA