'Acik, Aleya dah mati' cetus persoalan ibu mangsa

'Acik, Aleya dah mati' cetus persoalan ibu mangsa
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim (kiri) menunjukkan gaung di Gunung Raya lokasi mayat Nur Aisyah Aleya ditemukan pada Rabu, 6 Mac, 2019. --fotoBERNAMA
LANGKAWI: Kata-kata 'Acik... Aleya dah mati' oleh anak keempat pasangan suami isteri suspek utama kes kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah telah mencetus persoalan kepada ibu kanak-kanak malang itu tentang keberadaan anaknya.

Rosmaliah Samo, 31, berkata, ayat tersebut didengarinya semasa dia bermain-main bersama anak lelaki pasangan itu ketika berada di rumah mereka di Kuarters Hospital Langkawi.

"Pada 23 Feb lalu, pasangan suami isteri itu datang mengambil saya untuk pulang ke rumah mereka di kuaters tersebut.

"Pada hari yang sama, anak mereka melontarkan ayat tersebut kepada saya, pada mulanya saya memang tidak syak apa-apa cuma perasaan sedikit gusar dalam masa yang sama ada terfikir mungkin apa yang dikatakan budak tersebut betul.

"Keesokan harinya saya bertanya kembali soalan kepada kanak-kanak tersebut, kali ini saya terima jawapan berbeza iaitu Aleya diserahkan kepada orang lain untuk dijaga," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Rosmaliah berkata dia berada di rumah pasangan tersebut bermula 23 hingga 27 Feb, dan dalam tempoh lima hari tinggal di sana, dia tidak pernah sekalipun melihat kelibat anak keduanya itu hingga pada satu ketika ada terfikir anaknya itu memang sudah mati.
"Saya ada bertanya dengan suspek lelaki tersebut beberapa kali di mana anak saya, namun jawapan yang diberikan Aleya diserahkan kepada orang lain untuk dijaga," katanya.

BACA: Mayat kanak-kanak hilang Nur Aisyah Aleya ditemui, dipercayai meninggal dunia dua minggu lalu

Rosmaliah berkata, beliau kemudian pulang ke asrama tempat tinggal pada 27 Feb, namun pasangan itu datang mencari serta memaksanya untuk kembali pulang ke kuarters tersebut pada hari berikutnya.

"Saya kemudian beri amaran supaya serahkan kembali Aleya dalam tempoh dua hari ataupun laporan polis akan dibuat," katanya sambil menambah kali terakhir berjumpa anaknya itu ialah pada 27 Jan lalu.

Bagaimanapun, katanya, selepas pasangan itu gagal untuk memulangkan anaknya, beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis, Ahad lalu.

BACA: Sering dengar tangisan budak tengah malam - Jiran 

Beliau berkata polis memaklumkan bahawa pasangan itu tiada di rumah dan pemeriksaan di hospital tempat kerja wanita itu mendapati dia telah mengambil cuti kecemasan untuk pulang ke kampung.

Menurutnya, selepas itu beliau dimaklumkan bahawa pasangan itu ditahan polis di Ampang, Selangor, petang Rabu.

BACA: Pembunuhan Nur Aisyah: 'Suspek seorang panas baran' - Ibu mangsa 

Rosmaliah berkata sepanjang tinggal bersama pasangan tersebut sekitar November hingga Januari, beliau ada beberapa kali melihat suspek lelaki itu memukul anaknya malahan pernah sekali melihat lelaki itu mencucuh puntung rokok di lengan anaknya.

"Dalam tempoh dua minggu awal tinggal bersama mereka, lelaki itu ok aje... tidak pukul atau buat sebarang perkara lain tetapi semakin lama perangainya berubah dan saya pernah nampak dia tampar Aleya di depan mata saya, cubit lengan, cucuh puntung rokok dan lambung anak saya itu tinggi-tinggi.

"Banyak kesan lebam di tangan anak saya itu. Bila saya tegur dia marah kembali dan ugut pula untuk buat laporan mengenai saya yang tiada sebarang pengenalan diri, jadi saya pula rasa takut," katanya.

-- BERNAMA