Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Mohd Luthfi Ismail Abdullah, hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua JSJK Kuala Lumpur yang baharu.

Beliau mengambil alih daripada SAC Izany Abdul Ghany yang dinaikkan pangkat sebagai ketua penolong pengarah D5 (Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang) Bukit Aman.

Upacara serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Sebelum berpindah ke sini, Luthfi, 57, yang berasal dari Klang, Selangor, dan memiliki Diploma dalam Perundangan Awam dari Universiti Malaya, bertugas di beberapa JSJK termasuk Johor dan Pahang.

Beliau yang sudah 37 tahun berkhidmat dengan polis juga mempunyai pengalaman dalam bidang jenayah narkotik dan cawangan khas di Pahang. -- Bernama