Benarkah kamu akan terus berjuang, Ayah?

Ini persoalan yang ditimbulkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa dalam satu muat naik di laman Instagram peribadinya beberapa jam lalu.

Dalam catatannya, Nooryana berharap agar rakyat mengasihani ayahnya yang kini berdepan 42 tuduhan dalam kes penggubahan wang haram yang membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu ini.

Gambar yang dimuat naik di Instagram telah mendapat lebih daripada seribu likes. Rakyat yang memberi komen di bawah muat naik tersebut turut memberi kata-kata yang positif dan menggalakkan.

Menurut gambar yang dikongsi olehnya di Instagram, Nooryana bertanya kepada Najib mengenai perasaannya terhadap cabaran yang dilaluinya. Sama ada Najib hendak terus berjuang dan sama ada ayahnya terfikir tentang apa yang akan dilakukan terhadapnya, keluarga dan juga rakyat yang menyokongnya.

Najib hanya mengaitkan situasinya dengan Nabi Muhammad SAW, yang terus berjuang walaupun hanya dengan segelintir pengikut. Najib juga berkata bahawa dia berharap supaya dapat menolong rakyat selepas kesnya telah selesai dibicara dan kebenaran Malaysia Baharu dibongkar.

Najib juga berkata, beliau akan menjadi orang yang akan mendengar duka luka rakyat dan memberitahu mereka bahawa tidak terlambat untuk membuat sesuatu serta berdiri bersama rakyat untuk menolong mereka.

Tambah Nooryana, setiap saat ayahnya berada dalam kandang tertuduh, dia akan memikirkan keluarga, kawan, penyokong dan juga orang yang dikasihinya.

“Rakyat Malaysia adalah sumber kekuatan dan tekadnya. Jadi, kata-kata yang menggalakkan dan doa daripada rakyat akan membantu Najib mengharungi cabaran ini," luah Nooryana.