Peguam Negara (AG), atas kedudukan beliau sebagai Pendakwa Raya, sedang mempertimbangkan sama ada Jabatan Peguam Negara boleh meminda pertuduhan terhadap 442 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata proses itu akan mengambil masa oleh kerana ia perlu ditangani mengikut kes.

"Kanun Tatacara Jenayah (dan bukan SOSMA) akan menentukan aspek prosedur jika pertuduhan itu dipinda. Pendakwa Raya akan memberi keutamaan kepada pesalah wanita dan juvana. Begitu juga, tahanan yang sakit atau lemah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Hanipa berkata selepas pertuduhan dipinda, tertuduh boleh sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan.

Sejumlah 442 orang ditahan di bawah Seksyen 13 SOSMA kerana didakwa menjadi anggota pelbagai kumpulan jenayah terancang, atau bersekongkol atau membantu kumpulan seperti itu.

Mohamed Hanipa berkata setakat 27 Ogos tahun ini, 22 orang ditahan di bawah Seksyen 13 SOSMA kerana didakwa melakukan kesalahan berkaitan keganasan.

Kenyataan timbalan menteri itu dikeluarkan susulan mogok lapar oleh beberapa orang tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh (sejak Jumaat lepas) dan Penjara Pulau Pinang (sejak Selasa) untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan SOSMA.

Mohamed Hanipa berjumpa tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh pada Ahad lepas untuk memujuk mereka supaya menamatkan mogok lapar, dan kemudian merujuk kepada AG berhubung penahanan mereka di bawah SOSMA.

Beliau berkata, mengenai pertuduhan jenayah terhadap mereka, "ia sebaiknya ditangani oleh AG mengikut budi bicaranya berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan sehinggalah Kabinet membuat keputusan muktamad berkaitan SOSMA". -- Bernama