Tiga lelaki warga asing ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata ia hasil daripada dua operasi khas oleh bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas pada 28 Mac dan 22 April tahun ini.

Menurut Khalid, dua suspek ialah warganegara Rusia berusia 23 dan 25 tahun.

Sebelum ini, mereka ditangkap dan didakwa terlibat dalam aktviti kumpulan pengganas oleh pihak berkuasa Turki pada Februari 2016 dan diusir dari negara tersebut sebelum memasuki Malaysia pada Mac 2016.

Tiga suspek warga asing ditangkap terlibat aktiviti keganasan.
Kedua-dua suspek dari Rusia ini ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, dan diusir ke negara asal pada 13 Mei 2016 dalam satu operasi khas.

Sementara itu, seorang lagi suspek ialah warganegara Sri Lanka yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai juruteknik kamera litar tertutup (CCTV) di Lembah Klang.

Suspek dikatakan pernah membuat ugutan terhadap Presiden dan Perdana Menteri Sri Lanka menerusi akaun Facebook miliknya, dan suspek juga tersenarai dalam senarai dikehendaki oleh pihak berkuasa Sri Lanka.

Dia ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 dan telah diusir ke Sri Lanka dalam satu operasi khas pada 27 April 2016.

Kata Khalid, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memantau dana memastikan tiada anasir kumpulan pengganas memasuki dan menjadikan malaysia sebagai sasaran.