Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hari ini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Alizatul Khair mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman Putrajaya petang tadi.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang dilahirkan pada 22 April 1953 itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (kepujian) Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics University of London, United Kingdom.

Selain itu beliau turut mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam sistem perundangan negara.

Beliau pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 2003 sehingga 20 Disember 2004.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi mulai 21 Disember 2004 sehingga 10 Mei 2011 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayman pada 11 Mei tahun yang sama.

Sementara itu tiga lagi individu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Suraya Othman, Datuk Yeoh Wee Siam dan Datuk Rhodzariah Bujang berkuat kuasa hari ini.