Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan menyeru rakyat Malaysia menjunjung tinggi amalan tadbir urus yang baik demi memastikan kejayaan sebagai sebuah negara yang progresif.

"Apabila integriti terpahat dalam budaya kita, isu kepercayaan akan membantu hubungan kita dengan orang lain, sama ada pekerja, pelanggan, orang awam atau pemimpin politik yang dipilih," kata beliau semasa menyampaikan ucaptama pada Simposium Tadbir Urus 2016 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata budaya integriti yang mampan dalam mana-mana masyarakat dipupuk berdasarkan asas nilai dan kepercayaan, yang terdiri daripada kejujuran, kebenaran dan menghormati orang lain.

"Setiap orang mempunyai peranan untuk menegakkan integriti, supaya integriti itu sendiri menjadi norma budaya tingkah laku dalam masyarakat kita," katanya.

Kira-kira 200 peserta menghadiri persidangan itu, yang dianjurkan bersama oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG).

Bertemakan "Driving Public-Private Governance Forward", persidangan sehari itu bertujuan untuk menyediakan penyelesaian inovatif untuk merapatkan dan menggerakkan tadbir urus dalam sektor awam dan swasta untuk memaju pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi masa depan yang mampan.

Sementara itu, Presiden MICG, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, berkata tadbir urus yang baik diperlukan dalam sektor awam dan swasta kerana ia berkait-rapat dan boleh memberi impak yang besar ke atas prestasi satu sama lain.

"Tadbir urus yang baik memungkinkan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar diwujudkan dan pada masa yang sama mengurangkan rasuah.

Presiden MIA, Datuk Mohammad Faiz Azmi, berkata kerjasama sektor awam dan swasta yang kukuh adalah penting, memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh kedua-dua sektor itu dalam memupuk amalan tadbir urus yang baik untuk negara ini.

"Objektif utama tadbir urus ialah untuk memastikan kejayaan organisasi mampan dan nilai pihak-pihak berkepentingan yang menjadi teras unsur-unsur dalam setiap organisasi yang berusaha untuk lebih berdaya saing dan mampan," katanya.