AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

AmBank dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak bank, yang kemudiannya akan menilai dan mempertimbangkan untuk membuat penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata sebagai bank yang prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib para pelanggannya, khususnya individu dan PKS yang terjejas oleh 2019-nCoV.

"AmBank komited untuk membantu mereka dalam saat-saat yang menguji ini," kata beliau.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 1,000 maut

Sementara itu, bahagian insurans dan takaful kumpulan, AmMetLife dan AmMetLife Takaful telah memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat menawarkan liputan ke atas kemasukan ke hospital yang disebabkan oleh 2019-nCoV, melalui beberapa hospital kerajaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi 03-2178 8888 atau menghantar e-mel kepada bank pada [email protected] atau kunjungi cawangan berhampiran.

-- BERNAMA