Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan berehat daripada menguruskan sebarang tugas pentadbiran negara ketika siasatan ke atas dakwaan Wall Street Journal (WSJ) berhubung penyaluran AS$700 juta ke akaunnya selesai.

Presiden Bersama Centre For A Better Tomorrow (CENBET), Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan media berkata tindakan itu boleh dianggap sebagai satu penghormatan kepada Najib malah dapat melancarkan siasatan kes pihak berkuasa tanpa dipengaruhi mana-mana individu berkepentingan.

Sementara itu, Ping Sieu pada masa sama memaklumkan langkah berehat adalah contoh terbaik dalam mengamalkan tadbir urus negara dan tidak seharusnya memberi persepsi negatif terhadap Najib.

Ping Sieu juga menyeru agar mana-mana individu tidak membuat sebarang spekulasi dan menyalahkan mana-mana pihak selagi belum mendapat keputusan daripada mahkamah.

Ping Sieu turut memberi cadangan kepada Najib supaya segera membersihkan namanya daripada tanggapan negatif umum melalui beberapa langkah awal termasuk mengarahkan pihak AmBank menyediakan laporan rekod kewangan mana-mana transaksi berkaitan seperti didakwa WSJ.

Bank Negara Malaysia (BNM) turut diminta mengesahkan laporan tersebut memandangkan badan itu mempunyai maklumat mengenai mana-mana transaksi yang dilakukan.

Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan AmBank juga digesa untuk mengambil tindakan perundangan ke atas WSJ untuk menepis segala dakwaan yang dilakukan sebelum ini.

Ping Sieu juga membidas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilihat lebih berminat menyiasat dalang di sebalik pendedahan maklumat berkaitan 1MDB berbanding meneliti kesahihan maklumat yang disebarkan.

Tindakan ini, menurutnya, amat membimbangkan kerana ia mampu menjejas kredibiliti dan tidak membantu memulihkan keyakinan terhadap institusi awam.