Pihak AmBank digesa mengesah atau menafikan sama ada nombor akaun yang didedahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) yang didakwa atas nama perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar wujud.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata langkah ini dapat memberi gambaran terbaik kepada rakyat sama ada Najib benar-benar terlibat atau tidak dalam pengambilan dana berjumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari 1MDB.

BACA: Isu 1MDB: Najib disaran berucap kepada negara

“Saya pasti jika Najib tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, cara terbaik untuk mematikan serangan ke atas kredibiliti beliau ini ialah dengan membenarkan AmBank (atau mana-mana bank di negara ini) mendedahkan secara keseluruhan setiap bank akaun yang pernah beliau buka sejak menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009.

“Jika terbukti bahawa akaun di AmBank seperti yang didedahkan oleh AWSJ dan Sarawak Report (SR) itu tidak wujud, maka dengan mudah sahaja Najib boleh menghentikan isu terbaru ini,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pandan itu juga menyeru supaya Bank Negara Malaysia menggunakan semua kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan untuk merungkai kontroversi ini dengan mengesahkan sama ada akaun yang nombor dan namanya didedahkan oleh ASWJ dan SR itu benar-benar wujud.

“Jika ia tidak wujud, perkara ini tidak perlu dipanjangkan. Jika ia wujud, maka satu siasatan segera perlu dibuat dan Najib perlulah bercuti dan seorang pemangku Perdana Menteri boleh mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sementara siasatan sepenuhnya diadakan,” kata Rafizi.

Rafizi berkata kedua-dua AWSJ dan Najib sekarang saling mempertahankan fakta dan pendirian masing-masing.

“AWSJ dilaporkan menyatakan di dalam satu temu ramah di Hong Kong bahawa maklumat yang mereka perolehi adalah tepat dari satu siasatan rasmi mengenai 1MDB,” kata Rafizi.

Sementara itu, Najib dilapor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal.

BACA: Isu 1MDB: Najib bakal ambil tindakan terhadap WSJ

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika ditemu bual sebuah akhbar harian menyifatkan laporan tersebut sebagai satu fitnah jenayah.

“Laporan itu sungguh berniat jahat dan tidak berasas dengan sumber yang lemah dan meragukan.

“Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang,” Khairun Aseh dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.