Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disaran tampil menjawab segala tuduhan dan tohmahan melalui ucapan siaran langsung kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Ahli Parlimen Belia Perak, Rizmel Nazrin berpendapat langkah itu sedikit sebanyak dapat menjernihkan keadaan serta meredakan kegelisahan rakyat berhubung segala isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, baik dari dalam mahupun luar negara.

"Selain daripada tunggu hasil siasatan pelbagai cabang pihak berkuasa, langkah segera yang terbaik ialah bersemuka dengan rakyat melalui ucapan siaran langsung," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Rizmel, jawapan secara langsung kepada rakyat bakal mengukuhkan lagi segala hujah pembelaan bagi menangkis tuduhan berbanding memberi jawapan melalui kenyataan bertulis, di media sosial dan soalan lazim di blognya.

"Najib tidak boleh ambil mudah segala tuduhan. Dia boleh ambil tindakan terhadap pihak terlibat (menyebarkan maklumat palsu)," kata Rizmel yang juga anggota Pergerakan Pemuda UMNO.

Beliau mengulas senario susulan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Jumaat.

Kedua-dua laporan itu mendakwa siasatan kerajaan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati wang berjumlah berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Di dalam laporannya, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.

Najib malam tadi memuat naik satu kenyataan di laman Facebook yang antara lain menepis tuduhan kononnya beliau menerima dana daripada syarikat atau entiti terlibat.

Pihak 1MDB dalam kenyataannya semalam menafikan dakwaan pernah menyalurkan dana ke akaun milik Najib.

1MDB turut memperjelaskan bahawa syarikat tersebut tidak pernah menyalurkan dana kepada Perdana Menteri.

Malah Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan medianya menangkis segala tuduhan tersebut dan menyifatkan ia sebagai berniat jahat bermatlamat menjatuhkan Najib.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula telah memulakan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd selepas ia mempunyai asas untuk berbuat demikian.

Difahamkan, siasatan SPRM melibatkan wang yang dipinjamkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International bernilai kira-kira RM4 bilion.

BACA: Dakwaan WSJ tanpa bukti kukuh tidak boleh diterima - Khairy

BACA: 'Kalau laporan WSJ sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan